Bilakudahbosan: Aku RIndu Tok Wan

Friday 23 March 2012

Aku RIndu Tok Wan


Assalamualaikum,

“Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “. 

“ Orang-orang yang sabar itu apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata : Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “ ~ Surah al-Baqarah , ayat 155

Aku sabar menanti di dalam bas yang bergerak dari Kuantan ke Kemaman. Ia mengambil masa sehingga hampir 2 jam untuk sampai ke destinasi kerana bas bergerak amat perlahan dan selalu berhenti mengambil penumpang selain keadaan bas yang amat uzur. Sehingga orang yang sedang duduk didalamnya seperti menari-nari ketika bas bergerak.Fikiranku melayang sambil muzik sentimental bermain-main dalam fikiranku. Tidak aku menyangka masa cepat berlalu. Aku telah pun berada di semester kedua di sebuah kolej tajaan Mara. Dan tidak menjadi masalah bagiku untuk balik ke kampung halaman setiap minggu kerana jarak dari kolej ke rumah tidaklah jauh mana. 
-----------------------------------
 "Assalamualaikum.....," aku memberi salam sambil membuka pintu utama rumahku.

Orang yang pertama yang kulihat adalah Tok Wan ku.

Tok Wan menyapa, "Ha, dah balik dah.." sambil tersenyum. Aku membalas senyuman itu dan terus meletakkan beg di ruang tamu. Aku merebahkan diri di ruang tamu dan menghadap betul-betul di depan TV. Ia adalah hari yang aman damai seperti hari-hari biasa dalam hidupku. Aku menaip SMS. Bertanya khabar kawan-kawan lama. Agaknya malam ni boleh melepak seperti biasa. Lagi bagus kalau boleh "jamming". Kepala rasa bagai nak 'menghangguk' jer. Disebabkan penat, aku terlelap seketika....

Bila aku membuka mata, Tok Wan sudah tidak ada di ruang tamu. Dia sudah balik ke rumah. Rumah Tok Wan hanya bersebelahan dengan rumahku. Sebelum ini aku yang menemani Tok Wan selama hampir 2 tahun semasa aku masih bersekolah di tingkatan 4 dan 5. Akulah yang menemaninya bersahur dan berbuka di bulan puasa. Aku amat suka bau bantal Tok Wan. Aku juga suka tidur dalam bilik Tok Wan yang sejuk dan nyaman. Cuma kadang-kadang aku terpaksa melancarkan perang terhadap lipas-lipas yang merayap di mukaku. Biasalah rumah lama. Selepas abang aku berkahwin, dia mengambil alih tempatku menjaga Tok Wan sekaligus merampas bilikku yang disebelah bilik Tok Wan. Aku tiada bilik lagi selepas itu. Tempat mana dapat aku tidur, kat situlah bilik aku. Biasalah adik-beradik ramai. Aku menerima dengan hati yang sabar.

Aku terbabas rupanya. Tidur sehingga hari hampir gelap. Aku terus mencapai tuala dan mandi. Selesai mandi, aku duduk di kerusi di ruang tamu menonton TV bersama keluarga. Terdengar angin di luar sangat kuat. Ribut sedang melanda. Tapi tiada hujan dan tiada petir. Sedang asyik menonton TV, aku seperti terdengar suara orang menjerit. Aku terus keluar dari rumah bersama ayahku. Di dalam ribut, aku terlihat abangku berlari sambil mendukung Tok Wan. Aku bagaikan terkena kejutan elektrik pada masa itu. Abangku terus membawa Tok Wan masuk ke dalam rumah dan ayahku memangku kepala Tok Wan. Mata Tok Wan terpejam dan tidak bernafas. Abangku cuba menekan dada Tok Wan beberapa kali dan nampak seperti berhasil. Tok Wan menarik nafas panjang. Dan berhenti...............

Abangku mengalirkan airmata. Aku terpaku. Ayah menelefon bapa saudaraku Dr Zawawi. Selepas beberapa minit, bapa saudaraku tiba dan memeriksa nadi dan jantung Tok Wan. Dia kemudian bangun dan duduk di kerusi ruang tamu. Melihat ke arah ayahku dan menggelengkan kepalanya. Ibuku menangis tapi bapaku menegur supaya jangan menangis. Ibuku menahan airmatanya. Aku hanya menundukkan kepala. Tiada airmata. Dan hatiku seolah-olah menerima pemergian Tok Wan. Tiada rasa kesal dalam hatiku kerana aku tahu Allah amat menyayangi Tok Wan. Sebab itu matinya amat mudah.............Tidakku sangka sapaan pada petang tadi adalah sapaan yang terakhir Tok Wan padaku..........
-------------------------------------

Sebulan berlalu.........(bulan Ramadhan)

Aku bermain di dalam bilik Tok Wan. Aku terlihat satu bekas besar yang ada penutup. Aku buka penutupnya dan aku dapati ada satu kitab didalamnya. Aku mengambil kitab itu dan aku pergi ke luar rumah. Tiba-tiba aku mencampak kitab itu ke luar rumah. Aku merasa pelik.

Dalam fikiranku berkata-kata, "kenapa aku buang kitab itu?"

Lalu aku patah balik dan ambil kitab itu masuk ke dalam rumah Tok Wan. 

Aku tersentak apabila Tok Wan menegurku, "Kenapa buang kitab tu?"

Tiba-tiba sekelilingku menjadi putih seolah-olah aku berada di alam lain. Tiada siapa pun. Badanku bergerak ke depan seolah-olah terapung di awangan. Mataku hanya fokus pada objek asing yang semakin mendekat di depanku. Semakin dekat. Semakin dekat. Aku tersentak.

"TOK WAN!!!"

Kelihatan Tok Wan sedang duduk. Tanpa berkata walau sepatah perkataan pun aku terus menghulur tangan dan bersalaman dengan Tok Wan. Aku memeluk Tok Wan sambil menangis. Dan aku juga terdengar tangisan Tok Wan. Air mataku mengalir buat kali pertama setelah sebulan Tok Wan pergi. Cahaya putih semakin hilang. Sedikit demi sedikit.Gelap. Aku membuka mataku. Mimpi rupanya. Airmata aku masih mengalir. Terdengar ibuku membuka pintu.

"Bangun, sahur." Ibuku mengejutkan aku.

Aku bangkit. Di meja makan aku teringatkan kembali mimpi tadi. Dan aku percaya itu bukan mainan tidur. Aku seperti perasan ada 2 susuk yang berada di belakang Tok Wan dalam mimpi tadi. Tapi mataku seperti tidak membenarkan aku melihatnya.

Aku memberitahu ibuku, "Tadi mimpi Tok Wan."

Ibuku membalas, "Hm..Jumpa semua cucu-cucu dia..."

Hatiku girang kerana Tuhan Yang Maha Esa membenarkan aku berjumpa Tok Wan untuk kali yang terakhir........... 
-------------------------------------

6 tahun berlalu.......

Tiada lagi mimpi Tok Wan walaupun aku selalu berdoa ingin berjumpa Tok Wan sekali lagi. Tapi yang aku dapat hanyalah mimpi mainan tidur. Tidak sama dengan mimpi Tok Wan sebelum ini. Mimpi itu tersangatlah seperti berada di dalam dunia realiti. Setiap kali mengunjungi kubur Tok Wan aku takkan dapat menahan sebak. Kerana aku teringatkan salah silapku. Aku menengking Tok Wan. Aku lari bila Tok Wan minta tolong. Aku biarkan Tok Wan keseorangan dan melepak bersama kawan-kawan. Aku tak hiraukan pesan Tok Wan. Aku tak tunaikan permintaan Tok Wan. Aku selalu balik lewat malam. Aku biarkan Tok Wan bersahur seorang diri semasa aku malas bangun.

Tapi Tok Wan tetap cakap "Tok Wan maaf belaka dah....."

Tok Wan tetap mahu berjumpaku hinggakan dalam mimpi...............Tok Wan...Jika mampu diputarkan masa kembali ke masa dulu, akanku tunaikan segala permintaan Tok Wan.....Jamal rindukan Tok Wan....Jamal rindukan Tok Wan...Jika kita berjumpa lagi, Jamal mahu memimpin tangan Tok Wan kemana saja Tok Wan pergi.............

Buat abangku Aduka5, Tok Wan bahagia di sana......... 

Chik binti Salleh (Tok Wan) - Di luar rumah Tok Wan

 **Rantaian dari post Aduka5 - Aku Sayang Tok Wan

2 comments:

  1. post pertama yg bjaya wat umi mnangis kat depan netbuk...
    errr..napa x mao benti nngis nihh...adoii :'(
    smoga tok wan abg dtempatkan dlm golongan org2 yg briman n bhagia kat sana..:)

    ReplyDelete
  2. jgn la nangiss......nnt abg pon nangis gakkk..........

    ReplyDelete

My Blog List